STRATEGI DAKWAH NABI NUH
Dakwah Islamiah ialah menyampaikan ajaran agama Allah kepada semua manusia. Untuk itu, perlunya susuk peribadi yang aktif bergerak dengan strategi yang tersusun. Juga perlu menggunakan pelbagai wasilah agar dakwah tersebut sampai kepada sasarannya.
Nabi Nuh as sangat yakin dengan apa yang diserunya. Yakin akan benarnya kerasulan Baginda sebagai untusan Allah.
A. Menyentuh Tali Kekeluargaan
Pertalian kekeluargaan sangat signifikan dalam dakwah. Mampu melentur hati yang keras. Bertunasnya kasih sayang. Utuhnya kepercayaan.
Nabi Nuh kasih kepada umatnya. Baginda membangkitkan hubungan kekeluargaan ketika menyampaikan dakwahnya dengan menyeru menggunakan panggilan "يا قوم" yang bermaksud "Wahai Kaumku".
Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi pengarang Tafsir al-Wasith menafsirkan "يا قوم" :
"Ucapan yang lembut bagi menarik mereka untuk mendengar kata-katanya dan menerima suruhannya dengan penuh ketaatan. Menimbulkan perasaan bahawa dia (Nabi) adalah di kalangan mereka (umat) dan mereka di kalangannya. Situasi orang yang sebegini tidak mungkin untuk berdusta dan berbohong, malah hanya inginkan kebaikan."
B. Faham Dengan Realiti Umat
Umat Nabi Nuh mengusahakan ladang tanaman, penternakan serta perniagaan. Mereka sangat memerlukan hujan sebagai minuman, sungai yang mengalir ke ladang, langit yang menaungi, matahari yang memberi cahaya dan bulan yang menyuluh di kelam malam.
Realiti ini sepatutnya menjadi hujah yang kukuh kepada mereka tentang hakikat ketuhanan Allah yang langsung tiada pada berhala sembahan mereka. Allah sahaja yang mampu menjadikan semua yang mereka perlukan untuk hidup.
Nabi Nuh hidup di tengah umatnya. Kenal aktiviti harian umatnya. Faham budaya mereka. Baginda dengan jelas menyebut kekuasaan Allah yang menciptakan segala keperluan hidup umatnya tanpa berselindung.
C. Terus-menerus dalam Dakwah
Sasaran dakwah ialah mewujudkan generasi baru yang bersih dari lumpur jahiliyyah. Perlu ditanggalkan segala saki baki kesesatan dari segenap aspek kehidupan manusia agar menjadi hamba yang rabbani.
Tugas ini bukan sekadar hanya melengkapkan jadual semata-mata. Tidak memadai jika sekadar hanya sesekali menyapa manusia untuk merubah pegangan hidup mereka.
Nabi Nuh mencontohkan kita betapa lamanya masa diperlukan untuk meruntuhkan keyakinan batil kaumnya serta perlu disulami dengan kesabaran, menanggung semua kesengsaraan dan tidak sekali-kali melepaskan sebarang ruang peluang untuk berdakwah.
D. Dakwah Pasti Bertembung dengan Kuasa Besar dan Penguasa
Memperhambakan golongan yang lemah bagai skrip yang wajib dalam aroma sistem hidup yang sesat. Menjadi kelaziman juga terhadap kebejatan manusia sehingga berani mengaku diri sebagai tuhan. Akal menjadi asas penentu kepada halal haram dalam urusan hidup. Shahwat menuntun nafsu ke arah kemungkaran.
Nabi Nuh cekal menghadapi semua pertembungan ini. Walau terpaksa menempuh kesukaran yang melampau, digagahi jua. Dipulangkan kejahatan umat terhadap baginda dengan kebaikan.
Pernah baginda dipukul sehingga cedera parah dan pengsan, dibungkus di dalam karung, dicampakkan ke dalam rumah yang roboh, namun tatkala sedar, Baginda berdoa :
"Ya Allah! Ampunilah kaumku kerana mereka tidak mengetahui".
E. Dakwah Tidak Mengira Warna Kulit
Kerap kali pembesar masyarakat mendesak agar Nabi Nuh tidak mendampingi golongan lemah dan hina di mata masyarakat ketika itu. Alasannya kerana golongan miskin hina tidak setaraf dengan status elit dan eksklusif mereka.
Baginda tidak endahkan desakkan tersebut. Hidayah Allah boleh dimiliki oleh sesiapa yang Allah kehendaki bukannya kemahuan pembesar.
F. Wasilah Dakwah
Wasilah merupakan cara untuk menyampaikan dakwah. Antara wasilah Nabi Nuh ialah :
1. Pergi berhadapan secara langsung dengan kaumnya. Baginda berulang-ulang mendampingi mereka agar dapat menyampaikan dakwahnya. Reaksi mereka amatlah buruk. Mereka menutup muka dengan pakaian sendiri supaya tidak terlihat wajah mereka ketika disapa oleh Nabi Nuh.
2. Menemubual individu laksana seorang wartawan. Bercakap dengan mereka secara bersemuka dan bersendiri. Tiada pengaruh orang lain. Hanya berdua sahaja antara Nabi Nuh dengan kaumnya.
3. Bercakap tentang Islam di khalayak. Baginda hadiri perjumpaan mereka, hadir juga ke perayaan mereka dan apa jua majlis mereka yang pelbagai yang menghimpunkan orang ramai. Di sana Baginda menyampaikan dakwahnya kepada semua yang hadir secara langsung.
4. Memperlihatkan kemuliaan akhlak adalah wasilah yang praktikal untuk memperkenalkan agama Allah. Seorang yang berkahlak baik sangat disenangi masyarakat.
G. Uslub Dakwah
1. Uslub al-hikmah. Baginda berinteraksi dengan laras bahasa yang ringkas dan mudah difahami. Detail dan tepat. Sebagai contoh,
أَنِ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ وَٱتَّقُوهُ وَأَطِيعُونِ
"Iaitu sembahlah kamu akan Allah dan bertaqwalah kepadaNya, serta taatlah kamu kepadaku;
-سورة نوح، آية ٣
2. Mau'izzah Hasanah. Nasihat yang baik dengan ayat yang menyentuh perasaan. Pertuturan yang mendakap jiwa serta mengusik hati.
Asas uslub ini ialah dorongan dan juga amaran. Dorongan dan galakkan diutamakan kerana ia lebih menyentuh hati dari amaran. Namun keduanya dipraktikkan oleh baginda.
Ulasan
Catat Ulasan