Senarai Blog Saya

Jumlah Paparan Halaman

Halaman

Catatan Popular

Jumaat, 3 Jun 2011

Gambar Sekitar Tayangan Final UEFA Champions Leauge, Pemuda PAS Parit



1. Bola api Pemuda PAS Titi Gantong vs Jawatankuasa DPPK Parit





2. Ketua Pemuda Kawasan jaringkan gol pertama perlawanan.


3. Keputusan penuh DPPK Parit 4-0 Pemuda PAS Titi Gantong.





Cerpen : Menanti Ketika


“Tahniah Imah, engkau memang layak dengan anugerah ini” puji Mardiana sambil merangkul tubuh Imah sebaik tamat upacara konvokesyen tengahari itu. Bertalu-talu ucapan tahniah diterimanya. Imah bersyukur. Walaupun anugerah bukanlah matlamat utama dia belajar, namun ia merupakan suatu kepuasan. Puas dengan usaha dan doa yang tidak putus-putus dikirim, serta tawakkal yang menebal di dada terhadap Allah, Tuhan pencipta kejayaan dan kegagalan.

“Bagaimanakah agaknya perasaan aku, jika berjaya melangkah masuk ke pintu syurga Allah di akhirat nanti?” soalnya dalam hati.

“Ya Allah, jadikan aku sebahagian dari tetamu syurgaMu!” doanya tulus.

Hari ini semua graduan meraikan kejayaan mereka bersama-sama keluarga masing-masing. Imah hanya bersendiri. Ibu tidak dapat hadir. Ada urusan yang perlu diselesaikan. Penting katanya. Imah memahami. Ibu seorang yang bertanggungjawab di rumah besar itu. Kebajikan semua anak-anak terpikul di bahunya.

Imah memerhati kegembiraan teman-teman graduan yang lain. Melihat dengan pandangan mata yang mengharap. Menagih sesuatu yang telah sekian lama menjadi impian. Tiada bayangan yang dapat mengiringi. Kerana tiada rupa untuk ianya digambarkan. Hanya khayalan menjadi teman sepermainan perasaan itu.

Dilihatnya air mata ibu yang tidak henti-henti mengalir. Diperhatikan juga riak kebanggan yang terukir di wajah ayah. Si anak pula entah berapa kali dipeluk dan dicium oleh kedua orang tuanya.

Ibu bapa jelas puas. Perjudian hidup selama ini berbaloi. Si nelayan bertarung dengan ombak. Si petani bermandi peluh menguli selut dan lumpur. Si Penoreh getah menatang diri untuk sajian nyamuk waktu dinihari. Hanya satu matlamat yang dikejar. Walau wadah berbeza rupa dan paras. Untuk melihat anak-anak mereka mengecapi kejayaan.

Imah mengambil tempat di satu sudut yang jauh dari teman-teman. Dia malas untuk menjawab soalan jika ditanya tentang keluarganya. Tentu sekali ibu bapa teman-temannya akan bertanyakan soalan itu.

Bukankah konvokesyen hari untuk ibu bapa? Mana ibu dan bapamu pada hari bersejarah ini? Argh!

“Walau besar mana sekalipun dosa seorang ibu terhadap Allah, ibu tetap ibu. Seorang insan mulia yang telah mengandungkan dan melahirkan kita semua ke dunia” nasihat ibu sewaktu memberi tazkirah suatu masa dulu mengusik ingatannya. Dia tunduk tika lidah ibu menutur kalam nasihat itu. Dadanya sebak. Perasaan rindu mercup deras dari dasar hatinya. Melonjaknya untuk bingkas bangun meninggalkan majlis ilmu itu seketika. Ibu memandangnya. Dia terus juga berlalu. Maju ke biliknya, pantas. Bimbang air matanya gugur di hadapan sahabat-sahabat yang lain.

Belum pernah Imah menangis di hadapan mereka. Belum sekalipun air matanya menempiasi perasaan mereka. Belum lagi deria dengar mereka menghalusi bait-bait syair cinta ilustrasi rindu gubahan jiwanya.

Tak perlu! Mereka tidak perlu menghalusi syair itu.

Imah hanya melagukan syair cintanya di hadapan Allah. Suka, tawa, sedih, pilu, tangis, duka yang merentasi denai perasaan; berkocak di muara hati, pasti pada Allah Taala jualah tempatnya menitip bait-bait rintihan dan luahan, mengadu segala yang berbuku di sanubari.

Menangis di hadapan Allah lebih memuaskan. Ketawa ketika berbicara dengan Allah lebih menggembirakan. Allah Maha Mengetahui gurindam perasaan, kerna Dialah yang menciptanya. Walau apa sekalipun bentuk parasnya, di atas kudrat dan iradat Allah jua terbinanya perasaan itu.

“Mujur juga ibu tidak menghalang aku ketika bangun meninggalkan majlis pada malam itu” dia berbisik sambil menekup mukanya dengan kedua telapak tangan.

Dia rindukan mamanya. Wanita yang bertanggungjawab atas kehadirannya ke dunia. Di rahim mama Allah tempatkannya sementara. Sembilan bulan lebih dirupa bentukkan sebelum menjengah ke alam kedua perjalanan hidup seorang hamba. Walau mata belum pernah bertentang, walau jasad tidak pernah berdakap. Namun kahangatan cinta terasa benar membakar jiwa. Cinta seorang anak terhadap insan yang telah melahirkannya ke dunia. Disyairkan kalam cintanya setiap kali mengutus doa terhadap Yang Maha Esa.

Cerita ibu, mama seorang yang penyayang. Cantik rupa paras serta santun tutur kata. Tenang ketika berbicara walaupun dalam keadaan sedih. Seperti, saat mama meninggalkan Imah di bawah jagaan ibu.

Imah senyum. Mungkin sikap mama ini yang menulari jiwanya. Di mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi. Sembilan bulan berada dalam kandungannya, mana mungkin tiada persamaan antara mereka, biarpun hanya sekali meneguk susu di pangkuan mama.

Sejak Imah ditinggalkan mama bawah jagaan ibu, bersama dengan anak-anak ibu yang senasib dengannya, belum pernah sekalipun mama datang menjenguk. Namun kata ibu, mama pernah berjanji akan datang mengambil Imah hidup bersamanya.

“Mama Imah terlalu muda waktu itu. Gagal melawan kehendak nafsu. Liar bila nafsu sudah bermaharajalela. Sudah tidak kenal halal haram dalam agama” cerita ibu.

“Kita tidak boleh salahkan dia. Itu dosa dia dengan Allah. Imah kena banyak berdoa supaya Allah mengampunkan dosa mama. Doakan juga supaya Allah buka hati mama untuk bertaubat. Hari-hari Imah kena berdoa” nasihat ibu lagi.

Seingat Imah belum pernah dia terlalai mangirim doa untuk mama. Mintanya pada Allah, supaya semua dosa mama terampun. Pohonnya pada Allah, agar dibukakan pintu hati mama untuk bertaubat. Rayunya pada Allah, menerima taubat mama dan kekalkan taubatnya hingga akhir hidup mama. Diakhirinya doa tersebut dengan syair cinta, agar Allah pertemukan dia dengan mama walau hanya sekelip mata.

“Saya dengar, mak kandung awak, bohsia. Betul ke?”

“Mak kandung engkau tu perempuan jalang, tak payah la engkau susah-susah nak cari dia”

“Apa? Emak awak berzina dan lahirkan awak. Kemudian tinggalkan awak di rumah kebajikan itu. Jadi, awak ni, anak luar nikah? Begitu?”

Setiap kali persoalan atau kenyataan seumpama itu terungkap, hanya hati yang mampu berkata....memang. Mama memang seorang bohsia. Perempuan jalang yang menatang tubuh untuk lelaki-lelaki berwajah syaitan. Berzina sehingga melahirkan aku, anak di luar pernikahan. Mama seorang yang tidak bermoral dan sosial. Tidak takutkan hukum Tuhan. Mabuk menghirup kelazatan dunia. Khayal dibuai nafsu remaja.

Tapi! Dosa-dosa mama tidak mencantas dahanan kekeluargaan kami. Sehina manapun mama di mata masyarakat, mama tetap ibu kandungku. Sekeji manapun dosa mama terhadap Allah, namun susunya pernah kuteguk untuk terus mandiri di bumi Allah ini. Tiada dosa yang tidak terampun selain syirik mendua tigakan Allah. Itu kalam Allah. Wajib diimani.

“Mama, baliklah! Pulanglah ke pangkuan Allah. Bertaubatlah selagi pintu itu belum terkunci. Anak mama yang pernah mama tinggalkan di perkarangan rumah kebajikan itu sedikitpun tidak pernah membenci mama. Tiada dendam yang bertunas di jiwa anak mama ini. Malah, Imah bersyukur kepada Allah kerana mama tidak meninggalkan Imah di tempat-tempat yang bisa memisahkan nyawa dan tubuh Imah. Mama, lihatlah! Imah kini bukan lagi berusia satu hari seperti saat perpisahan kita” rayu hati kecilnya.

Imah meneguk air mineral. Perit tekaknya menelan air kerana sebak. Matanya yang berkaca-kaca masih lagi memerhati dan mengharap. Memerhati keriangan teman-teman meraikan kejayaan bersama keluarga tersayang. Mengharap kalau-kalau kelibat ibu muncul di pandangan. Mana tahu, urusan ibu cepat diselesaikan. Boleh juga menyimbah kehangatan rindunya.

Dalam gundah Imah bersyair. Syair indah sastera Arab kiriman teman yang kini sedang menuntut di Mesir melalui email. Dihafalnya dan dibaca sentiasa sebagai motivasi diri untuk berpenat-lelah menyemai amal di bumi, agar tidak kecewa saat menuai hasil di Mahsyar nanti.

“Kamu telah dilahirkan oleh ibumu wahai anak Adam dalam keadaan menangis......

dan manusia di sekelilingmu sedang ketawa gembira....

dan beramallah untuk suatu hari dimana mereka pula yang menangis...

pada hari kematianmu yang mana engkau ketawa gembira”



“Kamu inginkan syurga, tapi tidak menelusuri jalan-jalan ke arahnya....

sesungguhnya sebuah bahtera tidak mungkin berlayar di pesisiran pantai”



Sebak dadanya hanyut sebaik arus syair itu menerjah. Langsung menyubur keceriaan yang hampir layu di jiwa. Lalu, perasaan itu ditularkannya ke wajah. Bagi membenihkan sedikit tenaga mengukir senyuman supaya lidahnya lancar menutur zikir. Subhanallah! Alhamdulillah! Allahu Akbar!

“......Dan ketahuilah, dengan mengingati Allah itu hati manusia menjadi tenang”

(Al-Ra’d : 28)

“Assalamaulaikum, Naimah. Saya mengganggu awak ke?”

“Waalaikumussalam” jawab Imah sambil memalingkan mukanya ke arah suara tersebut. Imah terpempan. Lidahnya kelu. Tenaga yang menulari jiwanya tadi layu semula.

Di depannya berdiri seorang wanita bersama seorang anggota polis wanita dan ibu. Sebelah tangannya digari dengan tangan anggota polis tersebut. Lama mata mereka bertentangan. Membiarkan hati berbicara sendiri.

“Ya Allah! Mama rindu kamu, sayang”

Imah terus meluru langsung mengucup tangan wanita itu. Mereka berpelukan. Imah melepaskan segala perasaan yang sekian lama terkurung dalam rangkap syair cintanya. Bibirnya basah meratib syukur kepada Allah kerana dendam rindu kini berbalas.

Sabtu, 21 Ogos 2010

Ikut Susur Ke Arah Kejayaan


Kejayaan yang ingin kita kecapi dalam hidup ini terlalu banyak. Kita juga sentiasa mengharapkan kejayaan dalam setiap perkara yang kita lakukan di dunia ini. Kejayaan dalam hidup di dunia dan juga hidup selepas mati.

Dalam konteks pengajian pula, kita amat menagihkan kejayaan yang cemerlang dalam pembelajaran. Melayakkan kita untuk mendapat segulung ijazah mahupun pelbagai anugerah dari kecemerlangan yang kita perolehi. Anugerah dan ijazah mampu mengesat peluh dan keringat ibu bapa kita yang telah menggadai tenaga mereka demi melihat keselesaan kita dalam pengajiaan.

Terlalu ramai dikalangan kita yang mengharapkan kejayaan tersebut datang dengan cara mudah. Hanya mengimiginasikannya di minda tanpa perlu bersusah payah untuk menggapai matlamat tersebut. Tidak ringan badan untuk mendaki tangga ke perpustakaan dan berkurung di dalamnya untuk menuju ke arah impian yang menjadi lakaran minda.

Inilah suatu sindrom yang amat membahaya. Apabila virus ini mula menghinggapi tubuh kita, maka wabak malas akan menular ke seluruh tubuh kita. Maka, jika tanya kepada mereka yang ditulari wabak ini, kenapa kalian tidak bersungguh-sungguh? Pasti jawapan mereka tentunya “MALAS”. Selepas itu, mereka pula akan bertanya, bagaimana hendak menghindari sifat malas? Apa yang perlu dijawab jika soalan diajukan kepada kita? Bagi saya, kita perlu mejawab, “Anda kena rajin”. Saya ulangi, RAJIN.

Untuk berjaya sebenarnya mudah. Susuri jalan ke arah kejayaan tersebut. Sekiranya kita telah menelusuri jalan kejayaan pastinya kita akan sampai kepada matlamat yang kita impikan. Sebuah syair Arab ada menyebut,

ترجو النجاة ولم تسلك مسالكها
إن السفينة لا تجرى علي اليبس

Ertinya : Kamu impikan kejayaan (syurga) dan kamu tidak pula menyusuri jalan-jalannya, Seseungguhnya sebuah bahtera tidak mampu berlayar di persisiran pantai.

Jumaat, 16 Julai 2010

Usah Tunggu "Boleh"


Menjadi seorang aktivis Islam yang hebat perlu kepada persiapan diri yang dinamis. Kepelbagaian kemahiran dalam diri seorang aktivis Islam akan banyak membantu aktivis tersebut bergerak dengan lebih lancar di jalan dakwahnya. Kemahiran ini perlu dicari dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa agar jalan dakwah aktivis tersebut tidak semput di pertengahan medan.

Namun, kepelbagaian kemahiran bukanlah titik tolak untuk melayakkan seseorang individu itu bergelar aktivis. Apa yang penting adalah kemahuan dan kesungguhan untuk menyusuri jalan dakwah ini, serta faham akan tunututan dan kewajipan menyampaikan Islam bila-bila masa dan di mana sahaja.

Benar, kemahiran merupakan signifikan dalam menggerakkan kerja-kerja Islam. Akan tetapi, ianya bukan alasan untuk tidak menyumbangkan tenaga dan fikiran ke arah kemajuan Islam. Saya kurang bersetuju pada individu yang suka berkata "saya belum
boleh" untuk itu dan ini. Menjadi seorang yang "boleh" tidak akan tercapai dengan angan-angan. Kesediaan untuk menjadi "boleh" perlu dan sentiasa bersedia melatih diri ke arah itu.

Andai ingin menjadi seorang penulis yang serba boleh, maka perlu kepada kesanggupan untuk banyak menulis. Banyakkan membaca apa sahaja maklumat tambahan yang boleh mambantu percambahan minda dan penggunaan ayat-ayat baru. Proses ini perlu untuk kematangan penulisan.

Kadang-kadang seseorang individu suka dikatakan penulisannya hebat. Karyanya penuh dengan ayat-ayat bombastik dan satira serta metafora yang memukau (jika penulisan kreatif). Namun, bila dilihat dari latihannya tidak melayakkan dia untuk menjadi seorang penulis yang hebat. Kadang-kadang juga seseorang itu suka karyanya dibaca. Akan tetapi dia sendiri malas menjelajah karya-karya orang lain.

Kesimpulannya, jangan tunggu anda jadi seorang ulama' untuk menyebarkan Islam. Jangan tunggu anda menjadi seorang sasterawan untuk menyebarkan Islam melalui pena. Jangan tunggu anda menjadi "boleh" sebelum anda merangkak menjadi "boleh" dalam medium dakwah.

Ingat, manusia tidak tahu bila ajalnya bakal tiba. Medium dakwah amat luas. Pilihlah platform mana yang kita rasakan di situ kemampuan dan kebolehan kita atau terjunlah mana-mana platform yang mana tenaga kita diperlukan walaupun ia diluar kebolehan kita. Pada hemat saya dan ia adalah keyakinan saya bahawa kebolehan itu adalah anugerah Allah. Yakinlah, jika kita membantu agama-Nya, Dia pasti memudahkan urusan kita.

Ahad, 30 Mei 2010

MINDA PRESIDEN : Krisis Mahasiswa : Pertahankan Hak Dan Maruah


Sumber asal dari web www.pmram.org

Demi menggapai cita-cita mengembalikan keunggulan Islam, kita memerlukan penggerak ummah yang punya daya tahan yang kental serta jatidiri yang ampuh. Rasulullah SAW menjadikan sifat berani mempertahankan hak dan maruah sebagai silibus pembelajaran amali akhlak yang perlu dihadami oleh mereka.

Jika diamati krisis mahasiswa yang berlaku, mereka semakin lama dinafikan hak yang sepatutnya wajib dipelihara. Mungkin mereka golongan yang sedang membina masa hadapan dipandang sebagai golongan lemah yang tiada nilai sehingga hak dan maruah mereka kian direntap. Ironinya fenomena pilih kasih dan kasta ini seolah-olah tidak disedari atau pura-pura tidak sedar oleh pihak-pihak berwajib.

Para Ilmuan Zionis telah menetapkan 24 protokol yang menjadi dasar rancangan penguasaan mereka terhadap dunia antara lain menyebutkan;

"Cara memerintah sebaik-baiknya ialah dengan menggunakan kekerasan dan keganasan bukan dengan perbincangan ilmiah. Hak itu terletak kepada kekuatan. Siapa kuat, dialah berhak, kerana dalam hukum alam, kebenaran terletak kepada kekuatan. Sesungguhnya politik tidak sesuai dengan akhlak. Pemerintah yang berpandukan moral bukanlah ahli politik yang bijak. Mereka yang ingin memerintah, mestilah pandai menggunakan tipu helah dan matlamat menghalalkan cara. Minuman keras haruslah digunakan untuk mencapai tujuan itu." (rujuk Protokol-Protokol Mesyuarat Para Pimpinan Ilmuan Zionis)

Di dalam tulisan ini tidak memfokuskan modus operandi perancangan zionis berdasarkan protokol tersebut. Sebaliknya satu persoalan yang timbul adakah mereka yang masih mengaku Islam akan tetapi selesa menindas golongan lemah (baca mahasiswa) telah terpengaruh dengan protokol kejam ini?

Golongan yang lemah (baca mahasiswa) terus diperkosa hak dan maruah mereka serta neraca kebenaran diletakkan pada kekuasaan dan keangkuhan mereka yang berkuasa. Jika bersuara akan dicop sebagai pembangkang dan jika diam terus dipijak kepala. Itulah realiti hukum rimba yang sedang 'mengadili' mahasiswa-mahasiswi kita sekarang. Inilah 'pendidikan percuma' khas buat generasi kepimpinan masa hadapan.

Islam sebagai sebuah agama rahmat sangat memandang berat persoalan hak dan maruah manusia. Perkara inilah yang ingin saya nyatakan di sini. Sifat berani menegur perlakuan zalim merupakan akhlak berharga yang kian luput di kalangan kita. Sabda Baginda SAW :

"Apabila kamu melihat umatku kecut untuk berkata kepada orang yang zalim : Wahai si zalim! Maka diterima ucapan selamat tinggal daripada mereka". (Riwayat oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya)

Realiti kini di Mesir, Mahasiswa Islam semakin dipermainkan hak dan maruah mereka. Pelbagai isu dan masalah yang timbul semestinya menguji keupayaan PMRAM untuk menghadapinya dengan matang. Pelbagai siri-siri penindasan dan fitnah ke atas pendukung-pendukung PMRAM dirancang demi melihat kelahiran aktivis-aktivis Islam didikan PMRAM disekat secara berperingkat.

BAYANGAN PARTI PEMBANGKANG

Tahun 2009 melakarkan sejarah bahawa PMRAM difitnah dengan pengganas antarabangsa sehingga mampu mengganggu gugat kerajaan. Tidak cukup dengan itu, sekali lagi PMRAM dikatakan sebagai bayangan parti politik pembangkang dan dituduh mengadakan persaingan tidak sihat hanya kerana mengadakan majlis penyampaian sanad Sahih Bukhari dengan memakai baju ala-ala konvokesyen.

TIDAK LAYAK MASUK PEPERIKSAAN

Kini tahun 2010, maruah mahasiswa dan mahasiswi tahun satu Maahad Qiraat Al-Azhar dipermainkan lagi ekoran fail mereka yang tidak sampai di 'Idarah Wafidin'. Kesannya mereka terpaksa mengambil peperiksaan tanpa ulangan pada bulan Julai. Masalah ini terus berlarutan sejak 4 tahun yang lalu apabila proses kenaikan nama pelajar qiraat diambil alih oleh pihak tertentu. Perkara yang sama juga menimpa mahasiswa perubatan.

INTERAKSI KURANG MESRA

Selain itu, mahasiswa kini juga berhadapan dengan sikap muamalah beberapa pihak yang kurang mesra. Mengikut laporan yang diterima, beberapa mahasiswa pernah ditengking dan diherdik ketika melakukan urusan. Apa yang menyedihkan, perkara ini berlaku berulang kali oleh pihak yang sama.

Selain itu, sesetengah urusan diamalkan secara 'double standard'. Hal ini jelas terbukti, apabila hanya mereka yang berdaftar sahaja boleh membuat urusan pengajian. Hak sebagai seorang rakyat Malaysia dinafikan walaupun mereka merupakan warga negara Malaysia. Rentetan peristiwa ini seolah-olah menafikan prinsip dan pembawakan di dalam Gagasan Satu Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan yang dibawa oleh YAB Dato' Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia.

UGUTAN

Pelbagai bentuk provokasi dirancang demi melihat mahasiswa melatah dan akhirnya mengikut telunjuk beberapa pihak. Beberapa istilah yang digunakan sudah 'mangli' bermain di telinga seperti penarikan zakat, dibuang daripada asrama, dihantar pulang tanpa notis, tindakan disiplin akan diambil, tindakan saman di Malaysia dan pelbagai lagi. Ugutan seperti ini merupakan satu sikap yang tidak selayaknya diberikan kepada seseorang yang bergelar mahasiswa.

PENUTUP

Bagi PMRAM, siri-siri penindasan seperti ini sebenarnya memberikan impak positif yang menyedarkan kembali semangat perjuangan mahasiswa Melayu di Mesir yang sudah sekian lama tertidur. Demi mempertahankan hak mahasiswa, PMRAM berazam mendidik pendukung-pendukungnya dengan seribu satu azimat kekuatan bagi menyalakan obor semangat perjuangan mahasiswa yang bermaruah dan mempunyai jati diri.

Kita adalah mahasiswa yang tidak mudah dipermain-mainkan. Bangkitlah wahai pejuang-pejuang Islam. Marilah kita bersatu di bawah gerakan mahasiswa Islam di bumi Anbiyak ini. Perkara yang hak tetap akan kita pertahankan. Perkara yang batil pasti dimusnahkan.

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

Shahrizan Bin Mohd Hazime

Presiden

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010.


Rabu, 26 Mei 2010

Kesatuan Menjana Kegemilangan


Sesungguhnya Allah S.W.T mengasihi orang berjihad di jalanNya dalam satu barisan seoalah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh

(Al-Saff : 4)


Saya ingin mengajak anda menjengah ulasan atau kupasan mengenai ayat al-Quran di atas yang telah disyarahkan oleh dua orang guru saya dalam pengurusan dan kepimpinan. Kedua-duanya saya dapat dalam dua program yang berbeza, juga benua yang tidak serupa.


Namun menariknya, kedua-dua mereka telah ditarbiah dalam sebuah kampus kepimpinan yang sama iaitu Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Mereka juga semasa di era kepimpinan masing-masing memacu lajnah dakwah PMRAM walaupun di atas jawatan yang berbeza. Menarik bukan?


Kupasan Pertama :


Dalam ayat ini Allah ingin menjelaskan kepada kita bahawa Dia amat mengasihi orang yang melaksanakan gerak kerja Islam secara berorganisasi atau bepersatuan. Dengan itu akan terbentuknya sebuah kesatuan baik dari sudut perancangan mahupun tindakan.


Cuba kita renung dan fikirkan perumpamaan bangunan dalam firman Allah SWT tersebut dengan sebuah organisasi. Sebuah bangunan dibina melalui kombinasi susunan batu-bata yang mana kesemuanya mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan bangunan tersebut tetap teguh dan utuh.


Batu-bata yang berada di bawah tidak boleh mengatakan bahawa teguhnya sesebuah bangunan adalah disebabkan mereka dan begitu juga batu-batu yang berada di atas. Ini kerana, kekuatan sesebuah bangunan itu ditunjangi oleh rangkaian dari semua batu-bata yang membentuk bangunan tersebut.


Justeru, kejayaan sesebuah organisasi (khususnya PMRAM) bukannya disebabkan oleh kehebatan seseorang individu (Presiden, Badan Pengurus dll), akan tetapi melalui kerjasama yang terhasil dari kesatuan (pimpinan dan ahli) yang dikemaskan dengan ukhuwwah Islamiah bersimpulkan ribat al-Iman.


Kupasan Kedua :


Gerak kerja Islam perlu kepada satu kerjasama yang kolektif. Kolektif dari sudut perancangan, juga kolektif dari sudut tindakan. Semua individu yang menganggotai sesebuah organisasi perlu berperanan bagi merealisasikan objektif penubuhan persatuan tersebut.


Allah AWT telah mengajar kita melalui firmannya ini sebagai penjelasan tentang pentingnya kerja berkumpulan.


Di dalam ayat ini, Allah umpamakan gerak kerja Islam dengan sebuah binaan. Tertegaknya sebuah binaan ataupun bangunan terhasil dari kombinasi pasir, simen, batu-bata dan sebagainya yang diperlukan untuk membuat sebuah bangunan.


Di sini, dapatlah kita fahami bahawa pada sebuah bangunan, perlu kepada adanya pasir, perlu kepada adanya simen begitu juga batu-bata dan bahan-bahan lain. Jika kita hanya letakkan batu-batu sahaja tanpa kita simenkannya, mustahil sebuah bangunan akan wujud. Jika kita bancuh simen dengan air tanpa kita sapukan di permukaan susunan batu-bata, maka simen tersebut akan keras begitu sahaja.


Begitulah bandingannya dengan kita dalam berorganisasi. Ada di antara kita yang perlu menjadi simen. Ada di antara kita yang perlu menjadi pesir. Ada juga di antara yang menjadi batu-bata, kapur, air, cat dan sebagainya.


Dengan adunan bahan-bahan tadi, tegaklah sebuah bangunan yang tersergam indah. Bukan sahaja cantik, bahkan tegap dan kuat serta mampu melindungi penghuninya.


Kesimpulan : “Bersatu Teguh Bercerai Roboh”



Selasa, 25 Mei 2010

Cerita Lembu...


Saya ingin berkongsi sebuah cerita yang pernah saya dan beberapa orang teman serumah (Najid, Napi dan Ustaz Ju) borakkan di rumah sewa kami. Cerita ini bukan sekadar perbualan kosong antara kami, akan tetapi pengajaran dari cerita ini sentiasa menular di jiwa kami.

Cerita ini telah dipopularkan oleh teman saya (Najid) yang mengikuti kursus Bahasa Arab di Universiti Kaherah, Mesir. Semenjak itu, meriahlah rumah kami dengan ungkapan Arab yang masyhur itu saban hari sehingga saya pernah modulkan cerita tersebut di dalam program perkhemahan dan program sambutan mahasiswa baru, persatuan Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir.

Pada kali ini, saya ingin anda pula yang mengambil pengajaran dari kisahnya Tapi, saya hanya masukkan teks Bahasa Melayu sahaja hasil terjemahan isteri saya yang tercinta. Mudah-mudahan anda semua terhibur...

********

Di dalam sebuah hutan belantara, tinggal seekor singa bersama tiga ekor lembu jantan yang terdiri lembu jantan putih, lembu jantan hitam dan lembu jantan merah.

Singa itu sering mencuba untuk memakan lembu-lembu jantan tersebut namun tidak berhasil kerana ketiga-tiga ekor lembu jantan tersebut sentiasa bersatu menentangnya. Apabila ia menyerang salah seekor dari mereka maka mereka akan bersama-sama melawannya. Prinsip mereka ialah: “semua untuk satu, dan satu untuk semua” (all for one, one for all).

Berfikirlah singa satu tipudaya untuk memerangkap lembu-lembu tersebut bagi membolehkan dia membaham daging-daging mereka. Lalu, dia pun menghampiri dua ekor lembu jantan bewarna merah dan hitam seraya berkata;

“Warna tubuhku sama seperti kamu berdua, tetapi lembu jantan putih itu warnanya terlalu terang. Pemburu-pemburu pasti boleh melihatnya dari jauh dan mereka juga akan mengetahui tempat kita ini. Hal ini amat merbahaya kepada kita semua. Pada pendapatku, lebih baik kamu berdua biarkan aku memakannya supaya kita aman di sini” ujar singa memasang helah.

Sebaik mendengar penjelasan dari singa itu maka kedua-dua lembu tersebut berkata kepada singa, “Makanlah dia”, lalu tanpa membuang masa, singa pun memakan lembu putih tanpa halangan dari teman-temannya.

Selang satu tempoh, singa berkata pula kepada lembu jantan yang bewarna merah;

“Warna aku sama seperti warna engkau, tetapi lembu jantan hitam agak berbeza dengan kita. Ini merbahaya kepada kita dan pada pandanganku lebih baik engkau membiarkan aku memakannya” ujarnya sekali lagi dengan helah yang sama.

Lalu lembu hitam tersebut berkata kepada singa, “Makanlah dia”, maka singa pun terus membaham lembu jantan hitam itu.

Kemudian singa berkata kepada lembu jantan merah dengan nada mengejek;

“Sekarang aku ingin memakan engkau dan tiada lagi yang dapat menghalang aku pada hari ini” ujarnya sambil ketawa.

Lembu jantan merah pantas berpaling melihat sekelilingnya. Dia mendapati bahawa kini dirinya hanya bersendirian untuk menghadapi singa. Pada waktu itu, barulah dia teringatkan hari-hari lampau yang dilaluinya ketika dia melindungi kawan-kawannya.

Lalu ia menyebut sebuah ungkapan yang telah menjadi kata-kata yang masyhur di dalam Bahasa Arab.

لَقَدْ أُكِلْتُ يَوْمَ أُكِلَ الثَّوْرُ الأَبْيَضُ

“Sesungguhnya aku benar-benar telah dimakan pada hari lembu jantan putih dimakan"

Kesimpulan :

Punca keruntuhan sesebuah organisasi atau persatuan bukanlah disebabkan ancaman daripada musuh luar semata-semata. Akan tetapi kesatuan itu terkadang musnah disebabkan pengkhianatan dari kalangan ahlinya sendiri. Justeru, kesatuan dalam sesebuah organisasi harus menjadi agenda utama serta dipertahankan oleh semua, baik dari pihak kepimpinan mahupun ahli agar keteguhannya dapat di kekalkan.