Senarai Blog Saya

Jumlah Paparan Halaman

Halaman

Catatan Popular

Jumaat, 16 Julai 2010

Usah Tunggu "Boleh"


Menjadi seorang aktivis Islam yang hebat perlu kepada persiapan diri yang dinamis. Kepelbagaian kemahiran dalam diri seorang aktivis Islam akan banyak membantu aktivis tersebut bergerak dengan lebih lancar di jalan dakwahnya. Kemahiran ini perlu dicari dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa agar jalan dakwah aktivis tersebut tidak semput di pertengahan medan.

Namun, kepelbagaian kemahiran bukanlah titik tolak untuk melayakkan seseorang individu itu bergelar aktivis. Apa yang penting adalah kemahuan dan kesungguhan untuk menyusuri jalan dakwah ini, serta faham akan tunututan dan kewajipan menyampaikan Islam bila-bila masa dan di mana sahaja.

Benar, kemahiran merupakan signifikan dalam menggerakkan kerja-kerja Islam. Akan tetapi, ianya bukan alasan untuk tidak menyumbangkan tenaga dan fikiran ke arah kemajuan Islam. Saya kurang bersetuju pada individu yang suka berkata "saya belum
boleh" untuk itu dan ini. Menjadi seorang yang "boleh" tidak akan tercapai dengan angan-angan. Kesediaan untuk menjadi "boleh" perlu dan sentiasa bersedia melatih diri ke arah itu.

Andai ingin menjadi seorang penulis yang serba boleh, maka perlu kepada kesanggupan untuk banyak menulis. Banyakkan membaca apa sahaja maklumat tambahan yang boleh mambantu percambahan minda dan penggunaan ayat-ayat baru. Proses ini perlu untuk kematangan penulisan.

Kadang-kadang seseorang individu suka dikatakan penulisannya hebat. Karyanya penuh dengan ayat-ayat bombastik dan satira serta metafora yang memukau (jika penulisan kreatif). Namun, bila dilihat dari latihannya tidak melayakkan dia untuk menjadi seorang penulis yang hebat. Kadang-kadang juga seseorang itu suka karyanya dibaca. Akan tetapi dia sendiri malas menjelajah karya-karya orang lain.

Kesimpulannya, jangan tunggu anda jadi seorang ulama' untuk menyebarkan Islam. Jangan tunggu anda menjadi seorang sasterawan untuk menyebarkan Islam melalui pena. Jangan tunggu anda menjadi "boleh" sebelum anda merangkak menjadi "boleh" dalam medium dakwah.

Ingat, manusia tidak tahu bila ajalnya bakal tiba. Medium dakwah amat luas. Pilihlah platform mana yang kita rasakan di situ kemampuan dan kebolehan kita atau terjunlah mana-mana platform yang mana tenaga kita diperlukan walaupun ia diluar kebolehan kita. Pada hemat saya dan ia adalah keyakinan saya bahawa kebolehan itu adalah anugerah Allah. Yakinlah, jika kita membantu agama-Nya, Dia pasti memudahkan urusan kita.