Senarai Blog Saya

Jumlah Paparan Halaman

Halaman

Catatan Popular

Selasa, 25 Mei 2010

Cerita Lembu...


Saya ingin berkongsi sebuah cerita yang pernah saya dan beberapa orang teman serumah (Najid, Napi dan Ustaz Ju) borakkan di rumah sewa kami. Cerita ini bukan sekadar perbualan kosong antara kami, akan tetapi pengajaran dari cerita ini sentiasa menular di jiwa kami.

Cerita ini telah dipopularkan oleh teman saya (Najid) yang mengikuti kursus Bahasa Arab di Universiti Kaherah, Mesir. Semenjak itu, meriahlah rumah kami dengan ungkapan Arab yang masyhur itu saban hari sehingga saya pernah modulkan cerita tersebut di dalam program perkhemahan dan program sambutan mahasiswa baru, persatuan Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir.

Pada kali ini, saya ingin anda pula yang mengambil pengajaran dari kisahnya Tapi, saya hanya masukkan teks Bahasa Melayu sahaja hasil terjemahan isteri saya yang tercinta. Mudah-mudahan anda semua terhibur...

********

Di dalam sebuah hutan belantara, tinggal seekor singa bersama tiga ekor lembu jantan yang terdiri lembu jantan putih, lembu jantan hitam dan lembu jantan merah.

Singa itu sering mencuba untuk memakan lembu-lembu jantan tersebut namun tidak berhasil kerana ketiga-tiga ekor lembu jantan tersebut sentiasa bersatu menentangnya. Apabila ia menyerang salah seekor dari mereka maka mereka akan bersama-sama melawannya. Prinsip mereka ialah: “semua untuk satu, dan satu untuk semua” (all for one, one for all).

Berfikirlah singa satu tipudaya untuk memerangkap lembu-lembu tersebut bagi membolehkan dia membaham daging-daging mereka. Lalu, dia pun menghampiri dua ekor lembu jantan bewarna merah dan hitam seraya berkata;

“Warna tubuhku sama seperti kamu berdua, tetapi lembu jantan putih itu warnanya terlalu terang. Pemburu-pemburu pasti boleh melihatnya dari jauh dan mereka juga akan mengetahui tempat kita ini. Hal ini amat merbahaya kepada kita semua. Pada pendapatku, lebih baik kamu berdua biarkan aku memakannya supaya kita aman di sini” ujar singa memasang helah.

Sebaik mendengar penjelasan dari singa itu maka kedua-dua lembu tersebut berkata kepada singa, “Makanlah dia”, lalu tanpa membuang masa, singa pun memakan lembu putih tanpa halangan dari teman-temannya.

Selang satu tempoh, singa berkata pula kepada lembu jantan yang bewarna merah;

“Warna aku sama seperti warna engkau, tetapi lembu jantan hitam agak berbeza dengan kita. Ini merbahaya kepada kita dan pada pandanganku lebih baik engkau membiarkan aku memakannya” ujarnya sekali lagi dengan helah yang sama.

Lalu lembu hitam tersebut berkata kepada singa, “Makanlah dia”, maka singa pun terus membaham lembu jantan hitam itu.

Kemudian singa berkata kepada lembu jantan merah dengan nada mengejek;

“Sekarang aku ingin memakan engkau dan tiada lagi yang dapat menghalang aku pada hari ini” ujarnya sambil ketawa.

Lembu jantan merah pantas berpaling melihat sekelilingnya. Dia mendapati bahawa kini dirinya hanya bersendirian untuk menghadapi singa. Pada waktu itu, barulah dia teringatkan hari-hari lampau yang dilaluinya ketika dia melindungi kawan-kawannya.

Lalu ia menyebut sebuah ungkapan yang telah menjadi kata-kata yang masyhur di dalam Bahasa Arab.

لَقَدْ أُكِلْتُ يَوْمَ أُكِلَ الثَّوْرُ الأَبْيَضُ

“Sesungguhnya aku benar-benar telah dimakan pada hari lembu jantan putih dimakan"

Kesimpulan :

Punca keruntuhan sesebuah organisasi atau persatuan bukanlah disebabkan ancaman daripada musuh luar semata-semata. Akan tetapi kesatuan itu terkadang musnah disebabkan pengkhianatan dari kalangan ahlinya sendiri. Justeru, kesatuan dalam sesebuah organisasi harus menjadi agenda utama serta dipertahankan oleh semua, baik dari pihak kepimpinan mahupun ahli agar keteguhannya dapat di kekalkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan