Senarai Blog Saya

Jumlah Paparan Halaman

Halaman

Catatan Popular

Ahad, 30 Mei 2010

MINDA PRESIDEN : Krisis Mahasiswa : Pertahankan Hak Dan Maruah


Sumber asal dari web www.pmram.org

Demi menggapai cita-cita mengembalikan keunggulan Islam, kita memerlukan penggerak ummah yang punya daya tahan yang kental serta jatidiri yang ampuh. Rasulullah SAW menjadikan sifat berani mempertahankan hak dan maruah sebagai silibus pembelajaran amali akhlak yang perlu dihadami oleh mereka.

Jika diamati krisis mahasiswa yang berlaku, mereka semakin lama dinafikan hak yang sepatutnya wajib dipelihara. Mungkin mereka golongan yang sedang membina masa hadapan dipandang sebagai golongan lemah yang tiada nilai sehingga hak dan maruah mereka kian direntap. Ironinya fenomena pilih kasih dan kasta ini seolah-olah tidak disedari atau pura-pura tidak sedar oleh pihak-pihak berwajib.

Para Ilmuan Zionis telah menetapkan 24 protokol yang menjadi dasar rancangan penguasaan mereka terhadap dunia antara lain menyebutkan;

"Cara memerintah sebaik-baiknya ialah dengan menggunakan kekerasan dan keganasan bukan dengan perbincangan ilmiah. Hak itu terletak kepada kekuatan. Siapa kuat, dialah berhak, kerana dalam hukum alam, kebenaran terletak kepada kekuatan. Sesungguhnya politik tidak sesuai dengan akhlak. Pemerintah yang berpandukan moral bukanlah ahli politik yang bijak. Mereka yang ingin memerintah, mestilah pandai menggunakan tipu helah dan matlamat menghalalkan cara. Minuman keras haruslah digunakan untuk mencapai tujuan itu." (rujuk Protokol-Protokol Mesyuarat Para Pimpinan Ilmuan Zionis)

Di dalam tulisan ini tidak memfokuskan modus operandi perancangan zionis berdasarkan protokol tersebut. Sebaliknya satu persoalan yang timbul adakah mereka yang masih mengaku Islam akan tetapi selesa menindas golongan lemah (baca mahasiswa) telah terpengaruh dengan protokol kejam ini?

Golongan yang lemah (baca mahasiswa) terus diperkosa hak dan maruah mereka serta neraca kebenaran diletakkan pada kekuasaan dan keangkuhan mereka yang berkuasa. Jika bersuara akan dicop sebagai pembangkang dan jika diam terus dipijak kepala. Itulah realiti hukum rimba yang sedang 'mengadili' mahasiswa-mahasiswi kita sekarang. Inilah 'pendidikan percuma' khas buat generasi kepimpinan masa hadapan.

Islam sebagai sebuah agama rahmat sangat memandang berat persoalan hak dan maruah manusia. Perkara inilah yang ingin saya nyatakan di sini. Sifat berani menegur perlakuan zalim merupakan akhlak berharga yang kian luput di kalangan kita. Sabda Baginda SAW :

"Apabila kamu melihat umatku kecut untuk berkata kepada orang yang zalim : Wahai si zalim! Maka diterima ucapan selamat tinggal daripada mereka". (Riwayat oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya)

Realiti kini di Mesir, Mahasiswa Islam semakin dipermainkan hak dan maruah mereka. Pelbagai isu dan masalah yang timbul semestinya menguji keupayaan PMRAM untuk menghadapinya dengan matang. Pelbagai siri-siri penindasan dan fitnah ke atas pendukung-pendukung PMRAM dirancang demi melihat kelahiran aktivis-aktivis Islam didikan PMRAM disekat secara berperingkat.

BAYANGAN PARTI PEMBANGKANG

Tahun 2009 melakarkan sejarah bahawa PMRAM difitnah dengan pengganas antarabangsa sehingga mampu mengganggu gugat kerajaan. Tidak cukup dengan itu, sekali lagi PMRAM dikatakan sebagai bayangan parti politik pembangkang dan dituduh mengadakan persaingan tidak sihat hanya kerana mengadakan majlis penyampaian sanad Sahih Bukhari dengan memakai baju ala-ala konvokesyen.

TIDAK LAYAK MASUK PEPERIKSAAN

Kini tahun 2010, maruah mahasiswa dan mahasiswi tahun satu Maahad Qiraat Al-Azhar dipermainkan lagi ekoran fail mereka yang tidak sampai di 'Idarah Wafidin'. Kesannya mereka terpaksa mengambil peperiksaan tanpa ulangan pada bulan Julai. Masalah ini terus berlarutan sejak 4 tahun yang lalu apabila proses kenaikan nama pelajar qiraat diambil alih oleh pihak tertentu. Perkara yang sama juga menimpa mahasiswa perubatan.

INTERAKSI KURANG MESRA

Selain itu, mahasiswa kini juga berhadapan dengan sikap muamalah beberapa pihak yang kurang mesra. Mengikut laporan yang diterima, beberapa mahasiswa pernah ditengking dan diherdik ketika melakukan urusan. Apa yang menyedihkan, perkara ini berlaku berulang kali oleh pihak yang sama.

Selain itu, sesetengah urusan diamalkan secara 'double standard'. Hal ini jelas terbukti, apabila hanya mereka yang berdaftar sahaja boleh membuat urusan pengajian. Hak sebagai seorang rakyat Malaysia dinafikan walaupun mereka merupakan warga negara Malaysia. Rentetan peristiwa ini seolah-olah menafikan prinsip dan pembawakan di dalam Gagasan Satu Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan yang dibawa oleh YAB Dato' Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia.

UGUTAN

Pelbagai bentuk provokasi dirancang demi melihat mahasiswa melatah dan akhirnya mengikut telunjuk beberapa pihak. Beberapa istilah yang digunakan sudah 'mangli' bermain di telinga seperti penarikan zakat, dibuang daripada asrama, dihantar pulang tanpa notis, tindakan disiplin akan diambil, tindakan saman di Malaysia dan pelbagai lagi. Ugutan seperti ini merupakan satu sikap yang tidak selayaknya diberikan kepada seseorang yang bergelar mahasiswa.

PENUTUP

Bagi PMRAM, siri-siri penindasan seperti ini sebenarnya memberikan impak positif yang menyedarkan kembali semangat perjuangan mahasiswa Melayu di Mesir yang sudah sekian lama tertidur. Demi mempertahankan hak mahasiswa, PMRAM berazam mendidik pendukung-pendukungnya dengan seribu satu azimat kekuatan bagi menyalakan obor semangat perjuangan mahasiswa yang bermaruah dan mempunyai jati diri.

Kita adalah mahasiswa yang tidak mudah dipermain-mainkan. Bangkitlah wahai pejuang-pejuang Islam. Marilah kita bersatu di bawah gerakan mahasiswa Islam di bumi Anbiyak ini. Perkara yang hak tetap akan kita pertahankan. Perkara yang batil pasti dimusnahkan.

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

Shahrizan Bin Mohd Hazime

Presiden

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010.


Rabu, 26 Mei 2010

Kesatuan Menjana Kegemilangan


Sesungguhnya Allah S.W.T mengasihi orang berjihad di jalanNya dalam satu barisan seoalah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh

(Al-Saff : 4)


Saya ingin mengajak anda menjengah ulasan atau kupasan mengenai ayat al-Quran di atas yang telah disyarahkan oleh dua orang guru saya dalam pengurusan dan kepimpinan. Kedua-duanya saya dapat dalam dua program yang berbeza, juga benua yang tidak serupa.


Namun menariknya, kedua-dua mereka telah ditarbiah dalam sebuah kampus kepimpinan yang sama iaitu Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Mereka juga semasa di era kepimpinan masing-masing memacu lajnah dakwah PMRAM walaupun di atas jawatan yang berbeza. Menarik bukan?


Kupasan Pertama :


Dalam ayat ini Allah ingin menjelaskan kepada kita bahawa Dia amat mengasihi orang yang melaksanakan gerak kerja Islam secara berorganisasi atau bepersatuan. Dengan itu akan terbentuknya sebuah kesatuan baik dari sudut perancangan mahupun tindakan.


Cuba kita renung dan fikirkan perumpamaan bangunan dalam firman Allah SWT tersebut dengan sebuah organisasi. Sebuah bangunan dibina melalui kombinasi susunan batu-bata yang mana kesemuanya mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan bangunan tersebut tetap teguh dan utuh.


Batu-bata yang berada di bawah tidak boleh mengatakan bahawa teguhnya sesebuah bangunan adalah disebabkan mereka dan begitu juga batu-batu yang berada di atas. Ini kerana, kekuatan sesebuah bangunan itu ditunjangi oleh rangkaian dari semua batu-bata yang membentuk bangunan tersebut.


Justeru, kejayaan sesebuah organisasi (khususnya PMRAM) bukannya disebabkan oleh kehebatan seseorang individu (Presiden, Badan Pengurus dll), akan tetapi melalui kerjasama yang terhasil dari kesatuan (pimpinan dan ahli) yang dikemaskan dengan ukhuwwah Islamiah bersimpulkan ribat al-Iman.


Kupasan Kedua :


Gerak kerja Islam perlu kepada satu kerjasama yang kolektif. Kolektif dari sudut perancangan, juga kolektif dari sudut tindakan. Semua individu yang menganggotai sesebuah organisasi perlu berperanan bagi merealisasikan objektif penubuhan persatuan tersebut.


Allah AWT telah mengajar kita melalui firmannya ini sebagai penjelasan tentang pentingnya kerja berkumpulan.


Di dalam ayat ini, Allah umpamakan gerak kerja Islam dengan sebuah binaan. Tertegaknya sebuah binaan ataupun bangunan terhasil dari kombinasi pasir, simen, batu-bata dan sebagainya yang diperlukan untuk membuat sebuah bangunan.


Di sini, dapatlah kita fahami bahawa pada sebuah bangunan, perlu kepada adanya pasir, perlu kepada adanya simen begitu juga batu-bata dan bahan-bahan lain. Jika kita hanya letakkan batu-batu sahaja tanpa kita simenkannya, mustahil sebuah bangunan akan wujud. Jika kita bancuh simen dengan air tanpa kita sapukan di permukaan susunan batu-bata, maka simen tersebut akan keras begitu sahaja.


Begitulah bandingannya dengan kita dalam berorganisasi. Ada di antara kita yang perlu menjadi simen. Ada di antara kita yang perlu menjadi pesir. Ada juga di antara yang menjadi batu-bata, kapur, air, cat dan sebagainya.


Dengan adunan bahan-bahan tadi, tegaklah sebuah bangunan yang tersergam indah. Bukan sahaja cantik, bahkan tegap dan kuat serta mampu melindungi penghuninya.


Kesimpulan : “Bersatu Teguh Bercerai Roboh”



Selasa, 25 Mei 2010

Cerita Lembu...


Saya ingin berkongsi sebuah cerita yang pernah saya dan beberapa orang teman serumah (Najid, Napi dan Ustaz Ju) borakkan di rumah sewa kami. Cerita ini bukan sekadar perbualan kosong antara kami, akan tetapi pengajaran dari cerita ini sentiasa menular di jiwa kami.

Cerita ini telah dipopularkan oleh teman saya (Najid) yang mengikuti kursus Bahasa Arab di Universiti Kaherah, Mesir. Semenjak itu, meriahlah rumah kami dengan ungkapan Arab yang masyhur itu saban hari sehingga saya pernah modulkan cerita tersebut di dalam program perkhemahan dan program sambutan mahasiswa baru, persatuan Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir.

Pada kali ini, saya ingin anda pula yang mengambil pengajaran dari kisahnya Tapi, saya hanya masukkan teks Bahasa Melayu sahaja hasil terjemahan isteri saya yang tercinta. Mudah-mudahan anda semua terhibur...

********

Di dalam sebuah hutan belantara, tinggal seekor singa bersama tiga ekor lembu jantan yang terdiri lembu jantan putih, lembu jantan hitam dan lembu jantan merah.

Singa itu sering mencuba untuk memakan lembu-lembu jantan tersebut namun tidak berhasil kerana ketiga-tiga ekor lembu jantan tersebut sentiasa bersatu menentangnya. Apabila ia menyerang salah seekor dari mereka maka mereka akan bersama-sama melawannya. Prinsip mereka ialah: “semua untuk satu, dan satu untuk semua” (all for one, one for all).

Berfikirlah singa satu tipudaya untuk memerangkap lembu-lembu tersebut bagi membolehkan dia membaham daging-daging mereka. Lalu, dia pun menghampiri dua ekor lembu jantan bewarna merah dan hitam seraya berkata;

“Warna tubuhku sama seperti kamu berdua, tetapi lembu jantan putih itu warnanya terlalu terang. Pemburu-pemburu pasti boleh melihatnya dari jauh dan mereka juga akan mengetahui tempat kita ini. Hal ini amat merbahaya kepada kita semua. Pada pendapatku, lebih baik kamu berdua biarkan aku memakannya supaya kita aman di sini” ujar singa memasang helah.

Sebaik mendengar penjelasan dari singa itu maka kedua-dua lembu tersebut berkata kepada singa, “Makanlah dia”, lalu tanpa membuang masa, singa pun memakan lembu putih tanpa halangan dari teman-temannya.

Selang satu tempoh, singa berkata pula kepada lembu jantan yang bewarna merah;

“Warna aku sama seperti warna engkau, tetapi lembu jantan hitam agak berbeza dengan kita. Ini merbahaya kepada kita dan pada pandanganku lebih baik engkau membiarkan aku memakannya” ujarnya sekali lagi dengan helah yang sama.

Lalu lembu hitam tersebut berkata kepada singa, “Makanlah dia”, maka singa pun terus membaham lembu jantan hitam itu.

Kemudian singa berkata kepada lembu jantan merah dengan nada mengejek;

“Sekarang aku ingin memakan engkau dan tiada lagi yang dapat menghalang aku pada hari ini” ujarnya sambil ketawa.

Lembu jantan merah pantas berpaling melihat sekelilingnya. Dia mendapati bahawa kini dirinya hanya bersendirian untuk menghadapi singa. Pada waktu itu, barulah dia teringatkan hari-hari lampau yang dilaluinya ketika dia melindungi kawan-kawannya.

Lalu ia menyebut sebuah ungkapan yang telah menjadi kata-kata yang masyhur di dalam Bahasa Arab.

Ù„َÙ‚َدْ Ø£ُÙƒِÙ„ْتُ ÙŠَÙˆْÙ…َ Ø£ُÙƒِÙ„َ الثَّÙˆْرُ الأَبْÙŠَضُ

“Sesungguhnya aku benar-benar telah dimakan pada hari lembu jantan putih dimakan"

Kesimpulan :

Punca keruntuhan sesebuah organisasi atau persatuan bukanlah disebabkan ancaman daripada musuh luar semata-semata. Akan tetapi kesatuan itu terkadang musnah disebabkan pengkhianatan dari kalangan ahlinya sendiri. Justeru, kesatuan dalam sesebuah organisasi harus menjadi agenda utama serta dipertahankan oleh semua, baik dari pihak kepimpinan mahupun ahli agar keteguhannya dapat di kekalkan.

Isnin, 17 Mei 2010

Dakwah Bukan Ekstrem


Dalam menongkah era milenium, Islam sentiasa dikaitkan dengan keganasan. Setiap perkara dan amalan yang benar-benar menepati syara’ dilabelkan dengan ekstrim dan teroris. Semangat jihad yang seharusnya menyinari jiwa syabab al-Islam mulai kabur dek kerana kefahaman terhadap jihad, telah dikelirukan dengan penafsiran palsu oleh musuh-musuh Islam. Label teroris terhadap para da’ie telah berjaya menjauhkan al-syabab dari berintima dengan gerakan dakwah yang merupakan perjuangan suci dalam Islam.

Tempias dari penafsiran kotor dan keji ini telah membasahi pemikiran kebanyakkan mahasiswa Islam seluruh dunia. Kehadiran mereka ke institusi pengajian tinggi adalah semata-mata untuk memberikan penumpuan seratus peratus dalam pembelajaran, tanpa sekelip pun memandang ke arah masalah global. Kebersamaan dalam aktiviti persatuan lebih-lebih lagi yang berorientasikan tarbiah dan dakwah bukan lagi satu signifikan keberadaan mereka di kampus pengajian. Malah, ada yang beranggapan, aktiviti ini merencatkan proses kematangan ilmu yang sedang digali di sini.

Senario ini merupakan ghuzwah al-fikr (serangan pemikiran) yang direncanakan oleh musuh-musuh Islam dalam memastikan kekangan terhadap gerakan dakwah dapat direalisasikan. Di sinilah peranan kita sebagai mahasiswa Islam yang telah ditarbiah dalam suasana biah solehah untuk memastikan masyarakat sekitar kita nanti tidak terkena tempias pemalsuan ini.

Sedarlah, mahasiswa Islam adalah dai’e yang menjunjung amanah Allah, bagi menjana ummah gemilang dengan memikul peranan besar sebagai penggerak dan pembangun masyarakat untuk mengembalikan semula kecemerlangan ummah. Yakin serta percayalah, masyarakat sedang menanti penangan kita selaku tholib al-ilmi yang diharap mampu memimpin umat ke arah syurga Allah SWT dengan ilmu pengetahuan yang telah kita pelajari.

Tanamkanlah dalam diri kita bahawa syurga Allah bukan untuk kita seorang. Berusahalah dengan sekera-kerasnya dalam lapangan dakwah agar setiap hamba Allah yang mengucap dua kalimah syahadah dapat bersama-sama kita di dalam syurga Allah kelak.

Di sini, saya ingin menegaskan bahawa da’ie bukanlah teroris. Gerakkan dakwah bukanlah ekstremis. Dakwah yang kita dokongi ini, digerakkan melalui muzakarah berkelompok yang dipimpin oleh fasilitator dengan berkonsepkan nasihat dan teguran bagi mencapai hadaf dan tujuan. Menyentuh perspektif humanistik dari segi akhlak agar mampu memanifestasikan tugas dan kewajipan kita dalam usaha mengubah situasi kehidupan masyarakat.

Qudwah yang ditonjolkan oleh para fasilitator merupakan aset penting untuk kejayaan muzakarah berkelompok yang kita gerakkan. Menyatukan jiwa-jiwa kita dengan ikatan ukhuwwah Islamiyyah dan dikemaskan lagi dengan ribath al-Iman yang senantiasa harum subur di hati. Dimanakah yang dikatakan ekstrimis dan teroris pada dakwah kita? Inilah antara konspirasi barat dalam menjerat aktivis Islam.

Dr. Yusuf al-Qardhawi menyatakan : “Keganasan harus diperangi dengan perdebatan yang merupakan aktiviti pemikiran. Jika kita memerangi keganasan dengan melakukan keganasan yang serupa, kita memerangi pengganas dengan senjata dan cara yang sama, maka bererti kita juga adalah pengganas” (Antara Pengganas Dan Mujahidin Tulen).

Nabi s.a.w berjihad untuk menegakkan syiar Islam selama dua puluh tiga tahun dengan ketajaman semangat yang tidak pernah tumpul. Jihad yang sedikit pun tidak dinodai dengan perasaan malas walaupun baginda jarang benar berehat demi untuk memastikan umatnya yang dicintai, terlepas dari ancaman neraka. Kesungguhan dan keutuhan jihad baginda ini adalah bertunjangkan keyakinan baginda bahawa untung nasib umatnya di akhirat terletak atas kepatuhan mereka kepada Allah atau sebaliknya.

Justeru, saya mengharapkan agar sahabat-sahabat ahli PMRAM, setia memberikan khidmat seadanya terhadap organisasi yang kita dokongi ini. Mudah-mudahan, komitmen yang kita berikan dapat menyerlahkan kehebatan PMRAM sejajar dengan matlamat dan dasar penubuhannya.

Saya memohon kepada Tuhan yang membolak-balikkan hati agar menetapkan hati-hati kita thabat dalam agama ini serta mejadikan kita penyambung gerakkan dakwah Rasulullah agar penghayatan cara hidup Islam kembali menjadi kelaziman bagi umat Islam seluruhnya.